GAZA, 3 Jun - 27 terkorban selepas tentera Israel melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai yang cuba mendapatkan bantuan makanan di pusat agihan bantuan kemanusiaan di Rafah pada Selasa.
Menerusi satu kenyataan, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memaklumkan mangsa termasuk 184 pesakit yang menerima rawatan di Hospital Medan Palang Merah Antarabangsa.
"Awal pagi tadi, Hospital Medan Palang Merah di Rafah menerima kemasukan mangsa beramai-ramai iaitu 184 pesakit. Ini termasuk 19 kes yang telah diisytiharkan meninggal dunia semasa ketibaan dan lapan lagi meninggal dunia selepas itu," kata ICRC.
Tambah organisasi itu, jumlah pesakit yang dirawat akibat tembakan di Rafah pada hari itu adalah tertinggi sejak hospital tersebut dibuka setahun lalu.
"Skala dan kekerapan kejadian yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia amat membimbangkan," menurut ICRC.
Kejadian tembakan serupa berlaku berhampiran pusat bantuan yang sama Ahad lepas. Pasukan penyelamat melaporkan 31 terbunuh akibat tembakan Israel. -AFP