fb fb fb fb fb

Penduduk Nairobi bantah keganasan pihak berkuasa

Keluarga dan saudara mara Boniface Mwangi Kariuki, menyertai demontrasi di Nairobi/ VIORY

NAIROBI, 19 Jun- Penduduk Nairobi menyuarakan bantahan terhadap pihak berkuasa susulan melakukan keganasan yang disasarkan kepada penunjuk perasaan.

Tindakan itu susulan insiden seorang peniaga jalanan yang didakwa ditembak pihak berkuasa dan kini berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kenyatta National (KNH).

Rakaman video memaparkan ahli keluarga kepada peniaga terbabit, Boniface Mwangi Kariuki, bergegas ke hospital berkenaan, manakala pelajar dari Universiti Kenyatta turut berhimpun di lokasi sama. Pasukan polis dikerahkan bagi memastikan ketenteraman awam terkawal.

"Dia hanya berniaga, menjual pelitup muka dan langsung tidak memegang batu atau berniat mencederakan polis. Semua orang nampak bagaimana dia dipukul.

"Kalau sudah berada di unit rawatan rapi (ICU), apa pun boleh jadi. Dia mungkin kelihatan bernafas tetapi mungkin juga sudah tiada," kata bapa mangsa, Jonah Kariuki.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan turut menuntut peletakan jawatan Presiden Kenya William Ruto serta menggesa agar demonstrasi dibenarkan secara aman tanpa campur tangan pihak berkuasa.

"Tiada ugutan yang akan menakutkan kami. Tiada ancaman yang akan melemahkan semangat kami. Jalan raya milik rakyat dan kami akan terus berada di jalanan sehingga kamu berundur dari kuasa," kata seorang pelajar yang menyertai demonstrasi itu, Phillip Oketch.

Ketua Pegawai Eksekutif KNH, Dr William Kipronoh Sigilai mengesahkan bahawa sebutir peluru telah dikeluarkan dari tubuh Boniface Kariuki dan mangsa kini berada dalam keadaan kritikal.

"Kami menerima 16 mangsa di pusat kecemasan dan kecederaan semalam susulan demonstrasi. Kecederaan yang diterima termasuk tembakan dan trauma akibat objek tumpul," katanya.

Difahamkan, Boniface Mwangi Kariuki ditembak pihak polis dalam satu protes pada Selasa yang menuntut keadilan atas kematian seorang penulis blog, Albert Ojwang, yang dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis.

Media tempatan melaporkan bahawa Kariuki tidak bersenjata dan tidak terlibat dalam demonstrasi di lokasi kejadian.

Ketegangan terus memuncak di Kenya susulan gelombang protes yang digerakkan generasi muda (Gen Z) sejak setahun lalu, sekali gus mencetuskan kecaman terhadap tindakan keras pihak berkuasa.- VIORY

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI