fb fb fb fb fb

Iran pamer komander terkorban akibat serangan Israel di sekitar Tehran

Komander tentera Iran yang terbunuh dalam serangan Israel dipamerkan di jalan-jalan, Tehran/ VIORY

TEHRAN, 19 Jun- Kerajaan Iran mempamerkan poster beberapa komander tentera yang terkorban dalam serangan terbaru oleh Israel di beberapa lokasi di sekitar ibu negara, Tehran.

Antara yang terkorban termasuk Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hussein Salami serta Ketua Turus Angkatan Tentera, Mohammad Bagheri, susulan siri serangan udara rejim Zionis Israel minggu lalu.

Ketegangan semakin memuncak apabila tentera Israel meneruskan serangan ke atas beberapa lokasi di Tehran, sementara IRGC bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan ‘Operasi Rising Lion’ pada awal pagi Jumaat, menyasarkan fasiliti nuklear Iran, pegawai kanan dalam IRGC dan angkatan tentera serta infrastruktur ketenteraan negara itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas menerusi ‘Operasi True Promise 3’ dengan membedil beberapa lokasi strategik Israel termasuk Tel Aviv.

Beberapa negara dan organisasi antarabangsa mengutuk tindakan ketenteraan Israel, termasuk Lubnan, Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Rusia, China, Mesir, Kuwait dan Jordan, selain Liga Arab serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Ketegangan terus memuncak selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa bahawa negara itu 'mengawal sepenuhnya ruang udara Tehran,' serta menyeru penyerahan tanpa syarat dari Iran.- VIORY

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI