fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza terus menderita, Israel sasar serangan sesuka hati

(Pasukan mencari dan menyelamat Palestin melakukan operasi di salah satu kawasan
yang musnah akibat serangan rejim Israel pada 12 Oktober 2023/Foto AFP)

GENEVA, 13 Oktober –Lebih 423,000 orang penduduk terpaksa meninggalkan kediaman di Semenanjung Gaza susulan pengeboman berterusan zionis Israel yang bertindak balas atas serangan mengejut pejuang Hamas Sabtu lalu.  

Setakat lewat Khamis, jumlah penduduk yang terpaksa melarikan diri, meningkat kepada 84,444 orang menjadikan keseluruhan seramai 423,378 orang hilang tempat tinggal, menurut kenyataan agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), OCHA (Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB) dalam kenyataan pada Jumaat.

Pengumuman itu dikeluarkan selepas pengepungan berterusan rejim Israel di Semenanjung Gaza sebagai reaksi kepada serangan paling dahsyat melibatkan kematian di pihak rejim sejak 1948, pembentukan Palestin.

Semasa serangan, pasukan bersenjata Hamas telah menyerbu bandar-bandar kecil dan turut menyasarkan pengunjung festival muzik, didakwa Israel menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 150 orang dijadikan tebusan.

Susulan itu Israel bertindak membalas serangan secara bertalu-talu melalui udara dan altileri (pasukan tentera bersenjata meriam) menyasarkan kawasan yang didiami 2.3 juta penduduk, meranapkan bangunan dan membunuh lebih 1,400 penduduk. Israel juga dilaporkan telah bersedia melakukan serangan darat di wilayah Palestin.

“Serangan bom secara bertalu-talu sama ada dari udara, laut dan darat tanpa dipintas,” menurut kenyataan yang dikemas kini OCHA itu.

“Banyak bangunan kediaman di kawasan padat pendudk menjadi sasaran serangan telah musnah dalam tempoh 24 jam lepas.”


(Seorang lelaki Palestin bersama ahli keluarganya duduk di hadapan rumah yang musnah
susulan serangan udara rejim Israel pada 12 Oktober 2023/Foto AFP)

OCHA melaporkan lebih 270,000 penduduk – dua per tiga daripada jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal terpaksa berlindung di bangunan sekolah kelolaan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin, UNRWA.

Lagi 27,000 penduduk pula terpaksa berlindung di sekolah kendalian pihak berkuasa Palestin, sementara lebih 153,000 penduduk berlindung di rumah sanak saudara atau ahli keluarga terdekat, selain di bangunan-bangunan kerajaan.

Serangan terbaharu zionis Israel telah memusnahkan 752 lot kediaman dan bukan kediaman, merangkumi 2,835 unit kediaman, menurut kenyataan OCHA, memetik sumber Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Gaza.

Lagi 1,800 unit kediaman dilaporkan rosak teruk dan tidak boleh diperbaiki apatah lagi untuk didiami.

Serangan Israel turut merosakkan sekurang-kurangnya 90 fasiliti pendidikan, merangkumi 20 buah sekolah kelolaan UNRWA dan 70 buah sekolah kendalian pihak berkuasa Palestin. Sekurang-kurangnya sebuah sekolah musnah sepenuhnya.

“Sebelas masjid menjadi sasaran dan musnah, manakala tujuh gereja dan masjid mengalami kerosakan," kata OCHA.

Bekalan air dan kemudahan sanitasi turut terjejas. Kenyataan sama menyebut sejak konflik bermula, enam telaga air, tiga stesen pam air, satu kolam takungan, dan satu loji nyahgaram yang membekalkan keperluan lebih 1,100,000 orang penduduk rosak akibat serangan udara.

Media Baharu