NUSEIRAT, 20 Julai – Penduduk Gaza berhimpun di pusat agihan makanan di Nuseirat; menuntut agar laluan bantuan dibuka segera bagi menangani krisis kebuluran yang semakin meruncing.
Program Makanan Sedunia (WFP) sebelum ini melaporkan bahawa hampir satu daripada tiga penduduk Gaza tidak makan selama beberapa hari berturut-turut, dengan ribuan daripadanya kini berada di ambang kebuluran yang kritikal.
"Gaza sedang berdepan kebuluran. Tiada susu, tiada makanan, tiada tepung, dan tiada keperluan asas untuk hidup.
"Kami mahu peperangan ini dihentikan dan laluan bantuan dibuka. Kami mahu rakyat Palestin hidup semula seperti biasa. Kami perlukan makanan dan air," kata penduduk Nuseirat, Alia Halawa.
"Kami tidak cukup makan. Saya sendiri tidak makan, saya simpan makanan yang saya terima untuk anak saya. Saya ada tekanan darah tinggi, radang sendi dan kencing manis. Saya hilang 35 kilogram demi beri makan kepada anak-anak.
"Kami perlukan lebih banyak makanan. Anak-anak kami kebuluran. Semalam anak saya pengsan akibat paras gula rendah, saya terpaksa bawa dia ke hospital. Dia ada diabetes, dan saya ada lima orang anak. Ramai lagi yang senasib dengan saya," kata penduduk Nuseirat, Umm Sameh Abu Zeina.
"Saya menunggu di bawah panas matahari sebab anak-anak saya lapar, roti pun tiada. Saya tak jumpa pun sebiji kacang dalam tin. Semalam anak-anak menangis dan mengadu sakit perut sebab lapar. Mereka cuma minum air sampai tertidur," kata penduduk Nuseirat, Reem Abu Kamil. -AFP