BEIJING, 7 Oktober -Seorang pendaki maut manakala ratusan lagi diselamatkan selepas salji tebal secara tiba-tiba melanda Dataran Tinggi Tibet dan kawasan berhampiran Gunung Everest di bahagian China.
Seorang pendaki wanita yang dikenali sebagai FeiFei berkata, khemahnya bersama tiga lagi rakan tertimbus akibat salji tebal yang turun pada malam Sabtu lalu.
Ketika kejadian mereka sedang dalam pendakian di Lembah Karma pada ketinggian hampir 5,000 meter.
“Kami terpaksa membersihkan salji yang menimbus khemah berulang kali, tetapi saya rebah akibat keletihan dan khemah saya tertimbus,” katanya.
FeiFei kemudian berpindah ke khemah lain untuk berlindung sebelum kumpulannya berjaya kembali ke pusat penyelamat selepas dua hari berjalan kaki.
Jelasnya, pasukan penyelamat menggunakan yak dan kuda untuk membuka laluan yang tertimbus salji.
Dalam lembah sama, sekurang-kurangnya 350 pendaki telah diselamatkan setakat Ahad malam, menurut penyiar rasmi CCTV.
Namun, lebih 200 lagi masih berada di kem berketinggian tinggi ketika itu.
FeiFei turut melihat puluhan pendaki lain dalam perjalanan pulang, kebanyakannya lemah akibat lapar dan kekurangan oksigen.
Bagaimanapun tiada yang berada dalam keadaan kritikal.
Sementara itu, di wilayah Qinghai, seorang lagi pendaki dilaporkan maut akibat hipotermia dan penyakit altitud, lapor CCTV.
Lebih 130 orang lagi diselamatkan di kawasan sama selepas ratusan anggota penyelamat dan dua dron digerakkan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Ramai pendaki mengambil kesempatan cuti umum selama lapan hari untuk mengunjungi kawasan pergunungan, namun ramai terperangkap akibat perubahan cuaca mendadak. -AFP