GAZA, 7 Oktober -Genap dua tahun sejak genosid dilancarkan terhadap rakyat Palestin, Gaza terus dibedil rejim Israel dengan siri letupan baharu yang menggoncang wilayah itu pagi ini.
Penduduk melaporkan kepulan asap tebal dan letupan berturut-turut di beberapa kawasan utama.
Serangan berlaku ketika rundingan damai sedang dijalankan di Mesir bagi mencari jalan menghentikan kekejaman yang telah meragut puluhan ribu nyawa.
Delegasi Israel dan Hamas memulakan rundingan tidak langsung pada Isnin, dengan pelan gencatan senjata yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Namun, serangan udara Israel dilaporkan masih berterusan walaupun Trump menggesa agar pengeboman dihentikan sepanjang rundingan.
Pelan berkenaan menekankan tiga perkara utama iaitu penghentian serangan, pembebasan tebusan, serta kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Bagaimanapun, banyak pihak melihat Israel belum menunjukkan komitmen terhadap pelan itu.
Walaupun serangan sedikit berkurangan, namun penduduk Gaza memberitahu, ia tidak pernah berhenti.
“Genosid ini telah memusnahkan kami semua. Ia memusnahkan keluarga kami, rumah kami dan meninggalkan luka yang mendalam dalam hati kami,” kata Inas Abu Maamar, 38 tahun.
Seorang lagi penduduk, Abu Maamar berkata, kehidupannya kini penuh derita selepas kehilangan ramai ahli keluarga akibat serangan udara dan bedilan kereta kebal Israel.
“Cukup sudah kehilangan yang kami lalui. Ramai yang kami sayang telah pergi.
Kami meninggalkan rumah bersama mereka dan kini kami akan pulang tanpa mereka,” ujarnya dengan nada sebak.
Beliau turut bimbang perang itu tidak akan berakhir walaupun rundingan damai sedang diusahakan.
“Saya hanya takut perang ini akan berterusan. Kami tidak mahu ia terus berlaku. Kami mahu semuanya berakhir,” katanya.
Sejak 7 Oktober 2023, lebih 66,000 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sementara ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.
Analisis Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan, lebih 193,000 bangunan di Gaza musnah atau rosak teruk, termasuk 213 hospital dan 1,029 sekolah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan hanya 14 daripada 36 hospital masih beroperasi sebahagian.
Manakala, keadaan di selatan Gaza amat kritikal dengan pesakit dirawat di lantai tanpa bekalan ubat mencukupi.
Pejabat Hak Asasi Manusia PBB turut memberi amaran bahawa sebarang usaha memindahkan penduduk Gaza secara paksa boleh dianggap sebagai tindakan pembersihan etnik.
Walau di ambang kehancuran, rakyat Gaza terus berjuang mempertahankan hak mereka untuk hidup.
Dunia pula menanti sama ada rundingan damai kali ini benar-benar mampu membawa keadilan dan kebebasan yang mereka perjuangkan sejak sekian lama. -REUTERS