LOMBOK, 25 Jun - Pendaki wanita Brazil maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 600 meter ketika mendaki Gunung Rinjani di Pulau Lombok.
Juliana Marin, 27, tergelincir ketika sedang mendaki bersama lima rakannya di kaki gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia, Sabtu lepas.
Menurut Ketua Pasukan Penyelamat Tempatan Muhammad Hariyadi, jasad mangsa ditemukan ketika usaha mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keempat.
"Anggota kecemasan Indonesia cuba menghubungi Juliana setelah menerima laporan terdapat seorang wanita terjatuh dari tebing ketika mendaki di kaki gunung setinggi 3,726 meter," katanya.
"50 orang terlibat operasi SAR. Bagaimanapun, cuaca buruk dan kawasan yang sangat curam menyebabkan usaha untuk mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.
"Mangsa ditemukan sudah tidak bernyawa pada Selasa, pukul 6:00 petang waktu tempatan oleh pasukan penyelamat," tambah beliau.