fb fb fb fb fb

Hab bantuan GHF bunuh rakyat Gaza

Foto AFP

GAZA, 25 Jun - Sekurang-kurangnya 56 orang awam Palestin yang mencari bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza terbunuh akibat tembakan tentera zionis Israel, pada Selasa.

Lapor akhbar Palestin Al-Quds, saksi memberi gambaran mengerikan mengenai keganasan yang dihadapi penduduk Palestin di hab bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

"Kami mempercayai arahan tentera Israel setelah mereka menyuruh kami mengambil bungkusan itu. Ketika saya berjalan melepasi kereta kebal untuk mengambilnya, secara tiba-tiba mereka (zionis) mula menembak terus ke arah kami.

Ada pemuda diserang hendap dan jatuh ke tanah. Ada yang ditembak di kepala dan kaki," kata Muhammad Abu Nada, warga Palestin.

"Saya pergi ke sana kerana mereka kata ada tepung. Kalau saya tahu ia hanya ubat, saya tidak akan pergi. Saya tertinggal di belakang ketika mahu mengambilnya. Ketika itu, penembak tepat melepaskan tembakan ke arah saya.

Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Akhirnya, beberapa orang datang membantu saya. Lima daripada mereka yang membantu saya, terbunuh," kata Muhammad.

Sementara itu, pakar bedah ortopedik Dr Ashraf Al-Bayya menceritakan detik dahsyat insiden terbabit hingga mengakibatkan kecederaan teruk kepada mangsa.

"Kecederaan berbeza-beza, ada di bahagian kepala, dada dan badan. Kebanyakannya di perut dan dada," kata Dr Ashraf.

Sekurang-kurangnya 410 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba mendapatkan bantuan daripada hab bantuan GHF yang dilihat dibuka sebagai muslihat untuk membunuh penduduk Gaza.

NORAINI BINTI WAHIB