MANILA, 15 Mac- Filipina memanggil duta China bagi memberi penjelasan selepas sebuah kapal tentera laut China dikesan kerap berada di perairan negara Asia Tenggara itu secara haram, menjadikannya perbalahan diplomatik terbaharu antara kedua-dua negara.
Manila dan Bejing terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan Beijing mendakwa memiliki hampir keseluruhan perairan itu.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Filipina mendakwa kapal dari negara itu memasuki perairan kepulauannya tanpa kebenaran.
Kapal peninjau elektronik kelas Dongdiao dikesan di Laut Sulu iaitu laluan air terbesar Filipina pada 29 Januari sehingga 1 Februari, selain berulang kali tidak mengendahkan arahan untuk beredar.
Pengendali kapal itu mendakwa, pihaknya menggunakan laluan yang tidak salah ketika ia sampai di Pulau Cuyo, di pinggir Pulau Palawan dan Apo, di luar Mindoro.
"Pergerakannya bagaimanapun tidak mengikut laluan yang dianggap sebagai berterusan dan pantas, ia kerap kali berada di Laut Sulu selama tiga hari," kata Kementerian Luar sambil mendakwa kapal itu melakukan pencerobohan haram.
Susulan kejadian itu, Kedutaan China di Manila tidak mengeluarkan reaksi balas serta-merta terhadap permintaan untuk memberi komen.
China didakwa menuntut hampir kesemua kawasan perairan di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perdagangan dengan nilai bertrilion dolar setiap tahun.
Susulan tuntutan itu, Beijing perlu bersaing dengan Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.
Beijing pernah mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap yang berpangkalan di The Hague pada 2016, bahawa tuntutan sejarah negara itu adalah tanpa asas.
(Kepulauan Spartly menjadi pertikaian antara China dan Filipina kerana perairan itu kaya dengan sumber semula jadi / Foto AFP)
Ketegangan antara Manila dan Beijing memuncak tahun lalu selepas ratusan kapal China dikesan berada di Whitsun Reef dekat Kepulauan Spratly iaitu kawasan perairan yang menjadi pertikaian.
Pada November lalu, kapal pengawal pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah bot Filipina yang sedang menghantar bekalan kepada anggota marin di Second Thomas Shoal yang turut terletak di Kepulauan Spratly. - AFP