fb fb fb fb fb

Pemotongan bekalan elektrik di Gaza, 120 bayi pramatang terancam

(FOTO HIASAN)

BAITULMAQDIS, 23 Oktober - Nyawa sekurang-kurangnya 120 bayi pramatang yang berada dalam inkubator di hospital Gaza yang dilanda peperangan bakal terancam sekiranya bekalan tenaga elektrik dipotong, kata agensi kanak-kanak, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Lebih daripada 1,750 kanak-kanak telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Sempadan Gaza sebagai balasan terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober, menurut kementerian kesihatan wilayah Palestin.

Hospital menghadapi masalah yang serius terutama kekurangan ubat, bahan api dan air bukan sahaja untuk ribuan yang cedera dalam peperangan lebih dua minggu itu tetapi juga untuk pesakit biasa.

“Kami kini mempunyai 120 bayi pramatang berada dalam inkubator, 70 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan mekanikal dan itu yang membimbangkan," kata jurucakap UNICEF, Jonathan Crickx.

Kekurangan tenaga adalah salah satu kebimbangan utama bagi tujuh wad pakar di seluruh Gaza yang merawat bayi pramatang untuk bantuan pernafasan dan memberikan sokongan penting apabila organ mereka belum berkembang sepenuhnya.

Ketika pemotongan bekalan elektrik yang meluas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pada Khamis bahawa hospital-hospital telah kehabisan bahan api untuk penjana kuasa.

WHO turut menyatakan bahawa kira-kira 1,000 orang yang memerlukan dialisis juga akan berisiko jika penjana berhenti berfungsi. –AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN