fb fb fb fb fb

Filipina minta China hentikan tindakan provokasi di Laut China Selatan

(FOTO REUTERS)

MANILA, 23 Oktober - Filipina mengulangi gesaannya supaya China menghentikan “tindakan provokatif”, memberi amaran bahawa percubaannya untuk menyekat misi pembekalan semula Manila ke sebuah atol yang dipertikaikan di Laut China Selatan boleh mendatangkan “hasil yang buruk”.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (NSC), Jonathan Malaya dalam sidang akhbar pada Isnin berkata bahawa tindakan China untuk mengganggu misi pembekalan semula pada Ahad mengakibatkan kerosakan pada salah satu bot Manila namun tiada sesiapa yang cedera.

Dalam kejadian awal Ahad itu, pengawal pantai China berkata terdapat "perlanggaran sedikit" antara salah satu kapalnya dengan bot Filipina manakala pengawal pantai "secara sah" menghalang bot itu daripada mengangkut "bahan pembinaan haram" ke kapal perang.

Kapal itu membekalkan semula BRP Sierra Madre, sebuah bekas kapal perang yang berpangkalan di Second Thomas Shoal dan digunakan sebagai pangkalan untuk marin Filipina dan benting itu berada dalam zon ekonomi eksklusif Filipina.

Manila bertindak balas dengan mengutuk "pada tahap paling kuat" "gerakan menyekat berbahaya" kapal China itu. Ia juga telah memanggil duta China dan telah memfailkan bantahan diplomatik, kata kementerian luar negara itu.

Pengawal Pantai Filipina masih belum menilai tahap kerosakan pada badan kapal bekalan itu, namun jurucakapnya, Jay Tarriela berkata dalam sidang akhbar bahawa ia adalah "dalam" dan "lebih daripada calar".

Malaya MSN menuduh China "meningkatkan ketegangan" di Laut China Selatan dan mengekalkan tindakan China yang menyebabkan perlanggaran pada Ahad.

“Kami berasa lega dan bersyukur kerana tiada anggota Filipina yang cedera. Tetapi kami bimbang dengan peningkatan dan provokasi oleh kapal China yang tidak mempunyai urusan di Laut Filipina Barat,” kata Malaya.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN