GAZA, 23 Oktober - Pesawat pejuang Israel telah melakukan serangan terbaharu terhadap Semenanjung Gaza dengan membedil kawasan berhampiran tiga hospital.
Menurut laporan media Palestin, serangan awal pada Isnin berlaku berhampiran Hospital Shifa dan Al-Quds di Kota Gaza dan juga berhampiran Hospital Indonesia, di bahagian utara wilayah itu.
Namun tidak dapat dipastikan sama ada dua hospital itu iaitu Hospital Shifa dan Al-Quds rosak dalam serangan tersebut.
Memetik saluran berita Al Jazeera, Pengarah Hospital Indonesia berkata serangan itu telah menyebabkan kerosakan dan kecederaan serius namun tiada laporan kemalangan jiwa berhampiran dua hospital yang lain.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata pada 14 Oktober bahawa Israel telah mengarahkan mereka untuk mengosongkan Hospital Al-Quds, sambil menambah bahawa tidak mungkin untuk memindahkan orang yang sakit dan cedera.
Serangan itu berlaku pada Sabtu selepas pihak berkuasa rejim Israel mengarahkan supaya 20 hospital di utara Gaza dipindahkan.
Seorang pegawai keselamatan Israel berkata enam daripada 20 hospital telah mematuhi arahan itu manakala 10 buah hospital lagi sedang dalam proses pemindahan sementara empat hospital enggan berpindah.
Arahan rejim itu dibuat selepas pesawat tenteranya membunuh sekurang-kurangnya 500 orang awam dalam serangan ke atas Hospital al-Ahli Baptist di tengah Gaza.
Kementerian Kesihatan Semenanjung Gaza berkata kebanyakan mangsa serangan udara Israel adalah wanita dan kanak-kanak, sambil menambah beratus-ratus mangsa masih berada di bawah runtuhan.
Serangan itu disifatkan oleh Pertahanan Awam Palestin sebagai serangan udara Israel paling kejam dalam lima peperangan yang telah dilakukan rejim berkenaan terhadap wilayah itu sejak 2008.
Serangan kejam Israel terhadap penduduk Gaza bermula pada 7 Oktober selepas kumpulan pejuang Hamas yang berpangkalan di Gaza melakukan serangan mengejut terhadap rejim Israel dalam Operasi Ribut al-Aqsa.
Operasi itu, yang merupakan tindak balas terhadap tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin, mencetuskan serangan yang tidak henti-henti oleh entiti haram itu ke atas Semenanjung Gaza yang terkepung.
Serangan tersebut setakat ini telah meragut nyawa lebih 4,700 orang, kebanyakannya orang awam manakala 15,000 yang lain cedera.-Presstv.ir