fb fb fb fb fb

Pemindahan paksa berskala besar rakyat Palestin jenayah perang- PBB

Bangunan yang musnah dalam serangan Israel di Khan Yunis, selatan Gaza/ AFP

NEW YORK, 18 Oktober- Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk, memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang pemindahan secara paksa berskala besar rakyat Palestin di Gaza boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Beliau berkata tindakan itu dianggap jenayah perang, kecuali jika ia dilakukan atas alasan ketenteraan yang mendesak.

Tegasnya, arahan pemindahan Israel kelihatan sengaja dicipta untuk memisahkan utara Gaza sepenuhnya daripada wilayah lain.

“Memandangkan pengeboman dan serangan lain berterusan, terdapat kebimbangan serius mengenai pemindahan paksa berskala besar orang awam yang tidak memenuhi keperluan undang-undang antarabangsa untuk pemindahan atas alasan ketenteraan yang penting,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat PBB di New York.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan berterusan Israel terhadap Hamas di Gaza, sejak Oktober tahun lalu telah meragut 42,438 nyawa rakyat Palestin. Majoriti mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Tentera Israel telah meningkatkan operasinya sejak 10 hari lalu di utara Gaza dan ratusan ribu orang terperangkap dalam pertempuran, sekali gus menyukarkan penyampaian bantuan kemanusiaan.

"Saya menyeru Israel segera untuk memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan besar-besaran yang diperlukan di seluruh Gaza," kata Turk.- AFP

ROSLINA BINTI DIN