JERUSALEM, 18 Oktober- Pemimpin Hamas Yahya Sinwar dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera Israel.
Jurucakap Tentera Israel Daniel Hagari berkata Yahya maut selepas dikesan bersama dua lagi pejuang Hamas di sebuah bangunan di Rafah.
"Pasukan itu mengenal pasti tiga individu yang pergi dari rumah ke rumah dalam pelarian. Pasukan tentera menyerang kumpulan itu, memaksa Yahya Sinwar melarikan diri ketika kumpulan itu bersurai selepas ditembak", kata Hagari dalam kenyataan.
Sementara itu, tentera Israel mengeluarkan rakaman dron yang didakwa menunjukkan detik akhir Yahya Sinwar, sebelum beliau dibunuh.
Menerusi video itu, beliau yang mengalami kecederaan ditangan dilihat membaling kayu ke arah dron yang menghampirinya.
"Yahya Sinwar melarikan diri ke dalam salah satu bangunan dan pasukan kami mengimbas kawasan itu dengan dron yang boleh anda lihat dalam rakaman ini", katanya.
Mayatnya dikesan bawah runtuhan bangunan yang musnah sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Forensik di Tel Aviv untuk ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Rekod pergigian dan cap jari Yahya Sinwar digunakan untuk mengesahkan identitinya.
"Kami mengenal pasti dia sebagai seseorang di dalam sebuah bangunan dan kami menembak ke dalam bangunan itu dan kami masuk untuk mengimbas kawasan itu. Kami menemuinya dengan pistol. Dia dalam pelarian dan pasukan kami menghapuskannya," kata Hagari.
Menurut tentera Zionis, Sinwar dibunuh secara kebetulan, bukannya hasil maklumat risikan.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pejuang Hamas.
Israel menuduh Yahya Sinwar sebagai dalang dalam serangan pada Oktober tahun lalu, bersama Ketua Tentera Hamas Mohammed Deif.
Pada Ogos lalu, Yahya Sinwar menggantikan bekas Ketua Hamas Ismail Haniyeh, yang terbunuh di Iran pada 31 Julai.
Serangan tentera Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 42,438 orang dan majoriti yang terkorban adalah orang awam dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.-AFP