fb fb fb fb fb

Pemimpin Korea Utara lawat semula kawasan banjir - KCNA

Kim Jong Un melawat penduduk terjejas banjir di Daerah Uiju, Wilayah Pyongan Utara/ REUTERS

SEOUL, 12 Ogos- Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un meninjau semula kawasan banjir berhampiran sempadan China minggu ini selain merancang untuk membawa kira-kira 15,400 penduduk terjejas ke ibu negara itu sehingga rumah baharu dibina akibat hujan lebat dan banjir baru-baru ini.

Kim membuat perjalanan selama dua hari ke Uiju County untuk menawarkan sokongan tambahan bagi penduduk terjejas. Uiju County merupakan salah satu kawasan yang terjejas banjir, lapor KCNA.

Minggu lalu beribu-ribu rumah di bandar Sinuiju dan Uiju di Korea Utara dinaiki air akibat hujan lebat.

Pada akhir Julai Kim melawat kawasan banjir dan memeriksa kerja-kerja menyelamat dan tentera telah mengatur kira-kira 10 pesawat untuk membuat kira-kira 20 perjalanan untuk menyelamatkan 4,200 penduduk dalam masa kira-kira setengah hari selepas wilayah itu dilanda hujan lebat berpunca daripada ribut Gaemi.

KCNA berkata, Kim mempunyai rancangan untuk menyediakan sokongan untuk warga emas, tentera, kanak-kanak dan ibu di Pyongyang sehingga rumah baharu dibina.

Kim berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk mangsa banjir pulih daripada keadaan itu.

Kim juga berterima kasih kepada negara dan organisasi antarabangsa yang telah menghubungi Korea Utara dan menunjukkan hasrat untuk memberikan sokongan kemanusiaan.

Tetapi Korea Utara akan berusaha menyelesaikan permasalahan itu sendiri, lapor KCNA yang memetik kenyataan Kim.

Presiden Rusia Vladimir Putin telah menawarkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara, namun Kim mahu kerajaannya mengambil langkah pemulihan sendiri dan beliau mengucapkan terima kasih atas tawaran berkenaan, lapor KCNA.

Minggu lalu, Palang Merah Korea Selatan berkata negara itu bersedia untuk menyediakan bantuan kepada Korea Utara untuk kerosakan yang disebabkan oleh hujan lebat baru-baru ini.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI