MANILA, 12 Ogos- Filipina akan memfailkan bantahan diplomatik dengan China berhubung insiden baru-baru ini melibatkan pesawat Tentera Udara China di ruang udara atas beting Laut China Selatan, kata Setiausaha Luar Manila Enrique Manalo pada Isnin.
Negara Asia Tenggara itu akan meneruskan rondaan maritim di Laut China Selatan walaupun tindakan 'berbahaya dan provokatif' Tentera Udara China minggu lalu, kata Ketua Angkatan Tentera Filipina Romeo Brawner Jr. kepada pemberita.
Tentera Filipina melaporkan tindakan berbahaya dua pesawat China yang menjatuhkan suar di laluan pesawat Tentera Udara Filipina yang menjalankan rondaan rutin di Scarborough Shoal pada 8 Ogos.
Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro berkata, beliau berharap China akan mematuhi undang-undang antarabangsa selain keperluan untuk meredakan ketegangan.
Pada Ahad, Presiden Filipina Ferdinand Marcos menyifatkan tindakan China adalah "tidak wajar, menyalahi undang-undang dan melulu".
Namun Kedutaan China di Manila tidak segera mememberikan komen berkenaan perkara itu.
Sementara itu Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berkata, pesawat Filipina telah menceroboh secara haram walaupun diberi amaran berulang kali.- REUTERS