fb fb fb fb fb

Pembunuhan keluarga pengulas sukan BBC: Bekas askar mengaku bersalah

Kyle Clifford mengaku bersalah atas tiga tuduhan membunuh, satu tuduhan penahanan palsu, dan dua tuduhan memiliki senjata berbahaya

LONDON, 22 Januari- Seorang lelaki berusia 26 tahun pada Rabu mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dua anak perempuan seorang pengulas sukan BBC dalam serangan menggunakan busur silang dan menikam mati ibu mereka.

Kyle Clifford sebelum ini menafikan membunuh Carol Hunt, 61, isteri kepada pengulas perlumbaan kuda John Hunt, dan dua anak perempuan mereka, Louise, 25, dan Hannah, 28.

Louise dilaporkan adalab bekas teman wanita Clifford.

Namun, semasa muncul di Mahkamah Mahkota Cambridge di timur England melalui pautan video, Clifford menukar pengakuannya.

Mahkamah diberitahu bahawa Clifford mengikat tangan dan pergelangan kaki bekas teman wanitanya, Louise Hunt, dengan pita pelekat dan menembak dada wanita itu menggunakan busur silang di rumah keluarga mereka pada Julai lalu.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan membunuh, satu tuduhan penahanan palsu, dan dua tuduhan memiliki senjata berbahaya, tetapi menafikan merogol Louise.

Clifford ditangkap pada Julai selepas pencarian besar-besaran di bandar perumahan Bushey, berhampiran Watford di barat laut London.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE