BAITULMAQDIS, 22 Januari- Pasukan keselamatan Israel menyerbu bandar Jenin di Tebing Barat pada Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin dalam apa yang Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sifatkan sebagai "operasi ketenteraan besar dan signifikan."
Tindakan tersebut, yang dimulakan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan beliau mengangkat sekatan ke atas penjajah Israel ultranasionalis yang menyerang kampung Palestin, diumumkan oleh Netanyahu sebagai serangan baharu terhadap pejuang bersenjata yang disokong Iran.
"Kami bertindak secara sistematik dan bertekad menentang paksi Iran di mana sahaja ia 'menghulurkan tangannya' – di Gaza, Lebanon, Syria, Yemen, dan Judea serta Samaria," kata Netanyahu.
Pencerobohan ke Jenin, tempat pasukan tentera Israel melaksanakan serbuan dan kemasukan besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku hanya dua hari selepas gencatan senjata dimulakan di Gaza.
Tentera Israel berkata, anggota tentera, polis, dan perkhidmatan risikan telah memulakan operasi menentang keganasan di Jenin.
Ia berikutan operasi selama beberapa minggu oleh pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat untuk mengambil semula kawalan di kem pelarian bersebelahan, sebuah pusat utama kumpulan militan bersenjata termasuk Hamas dan Jihad Islam, kedua-duanya mendapat sokongan dari Iran.
Ketika operasi dimulakan, pasukan keselamatan Palestin menarik diri dari kem pelarian dan bunyi tembakan senjata berat dapat didengar melalui rakaman telefon bimbit yang dikongsi di media sosial.
Perkhidmatan kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terbunuh dan 35 cedera dalam serbuan Israel yang berterusan sehingga malam. Seminggu sebelumnya, serangan udara Israel di kem pelarian Jenin mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin dan mencederakan ramai yang lain.
Sejak bermulanya perang di Gaza pada Oktober 2023, ratusan rakyat Palestin dan puluhan rakyat Israel telah terbunuh di Tebing Barat dan Israel, dan ribuan rakyat Palestin telah ditahan dalam serbuan Israel yang berterusan.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich, yang bertanggungjawab terhadap sebahagian besar dasar Israel di Tebing Barat, berkata operasi tersebut adalah permulaan "kempen yang kuat dan berterusan" terhadap kumpulan militan "bagi melindungi penempatan dan peneroka."
Sebelum ini, Smotrich menyambut baik keputusan Trump untuk mengangkat sekatan ke atas peneroka yang dituduh melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin. Beliau turut berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran Amerika yang baharu dalam memperluas penempatan haram, yang dianggap oleh kebanyakan negara sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam beberapa hari sebelum operasi tentera Israel di Jenin, rakyat Palestin di Tebing Barat berkata beberapa sekatan jalan raya telah dijalankan di seluruh wilayah, di mana keganasan telah kembali berlaku sejak perang di Gaza bermula.
Pada lewat Isnin, sekumpulan peneroka Israel menyerang rakyat Palestin, memecahkan kereta dan membakar harta benda sekitar kampung al-Funduq, dekat Qalqilya, sebuah kawasan di mana tiga warga Israel terbunuh dalam tembakan awal bulan ini.
"Terdapat sebuah bengkel kayu tempat saya telah bekerja selama lapan tahun," kata Abdulmalek Farajallah, yang mendakwa lebih 200 peneroka haram terlibat dalam serangan tersebut. "Mereka membakarnya, serta bangunan dan kereta jiran-jiran kami di sana. Tiada siapa yang boleh berbuat apa-apa."
Tentera Israel berkata ia telah membuka siasatan berhubung insiden tersebut, yang melibatkan puluhan orang awam Israel, ada antaranya memakai topeng.
Pihak berkuasa Palestin mengutuk serangan peneroka haram Israel di al-Funduq serta kemunculan sekatan dan halangan jalan baru yang tiba-tiba, yang mereka katakan bertujuan untuk "memecahbelahkan Tebing Barat."
"Kami menyeru pentadbiran Amerika yang baharu untuk campur tangan bagi menghentikan jenayah dan dasar Israel ini yang tidak akan membawa keamanan dan keselamatan kepada sesiapa," kata pejabat Presiden Palestin Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan.
Sekitar 700,000 penjajah haram Israel tinggal dalam kalangan 2.7 juta rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, tanah yang dirampas Israel pada tahun 1967.
Kebanyakan negara menganggap penempatan Israel di wilayah yang dirampas dalam perang adalah haram. Israel membantah perkara itu, dengan merujuk kepada hubungan sejarah dan alkitabiah dengan tanah tersebut.-REUTERS