fb fb fb fb fb

Pembunuhan kakitangan, Pengarah PBB untuk rakyat Palestin gesa siasatan dilakukan

Pengarah agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin, Philippe Lazzarini menggesa agar siasatan dilakukan pihak Majlis Keselamatan terhadap operasi PBB di Gaza selepas kira-kira 180 kakitangannya terbunuh / Foto AFP

NEW YORK, 24 April - Pengarah agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin menggesa agar siasatan dilakukan pihak Majlis Keselamatan terhadap operasi PBB di Gaza selepas kira-kira 180 kakitangannya terbunuh.

Philippe Lazzarini turut mendedahkan bahawa Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) telah dapat mengimbangi sebahagian kekurangan pembiayaan dengan mengumpul AS$100 juta (RM477.7 juta) menerusi derma dalam talian sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada Oktober.

Lazzarini berkata serangan terhadap sikap berkecuali UNRWA "terutamanya didorong oleh objektif untuk melucutkan rakyat Palestin daripada status pelarian telah menyebabkan mengapa sehingga ke hari ini terdapat desakan untuk UNRWA tidak hadir" dalam Gaza, Baitulmaqdis timur dan Tebing Barat.

UNRWA telah ditubuhkan pada tahun 1949 untuk berkhidmat kepada rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal mereka dalam konflik Arab-Israel 1948 dan kini terdapat 5.9 juta pelarian Palestin berdaftar.

Lazzarini berkata baru-baru ini, beliau telah "menyeru ahli Majlis Keselamatan untuk siasatan bebas dan akauntabiliti untuk pengabaian terang-terangan premis PBB, kakitangan PBB, dan operasi PBB di Semenanjung Gaza."

Setakat Selasa, seramai 180 kakitangan UNRWA telah terbunuh dalam perang, 160 premis telah rosak atau musnah dan sekurang-kurangnya 400 orang telah terbunuh ketika mendapatkan perlindungan PBB, kata Lazzarini.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN