fb fb fb fb fb

Pembangkang Sri Lanka tolak tawaran bentuk kerajaan perpaduan

(FOTO AFP)

COLOMBO, 5 April- Pembangkang Sri Lanka menolak tawaran berkongsi kuasa oleh Presiden Gotabaya Rajapaksa bagi membentuk kerajaan perpaduan dan menyifatkan tawaran itu sebagai “karut”.

Pembangkang sebaliknya menuntut beliau meletak jawatan disebabkan krisis semasa sehingga menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan perubatan yang semakin serius.

Rajapaksa membuat tawaran itu ketika tentera berusaha menyuraikan protes yang semakin memuncak atas sebab krisis ekonomi terburuk di Sri Lanka sejak kemerdekaan dari penjajahan Britain pada 1948.

Ketika penunjuk perasaaan menyerbu kediaman peribadi Perdana Menteri Sri Lanka yang juga abang presiden, polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan kumpulan tersebut.

Perdana Menteri Sri Lanka adalah ketua puak politik -- di Tangalle, lokasi yang pernah menjadi kubu kuat sokongan kepada Rajapaksa di bahagian selatan negara itu.


(Protes kenaikan harga minyak dan kekurangan bekalan termasuk
barangan perlu di Colombo pada 4 April 2022/AFP)

Pada Isnin, ratusan lelaki dan wanita mengepung pejabat presiden dan perdana menteri di Colombo selama beberapa jam ketika sekumpulan polis berusaha mengawal keadaan.

Terdahulu, presiden meminta wakil pembangkang di parlimen untuk “turut serta dalam usaha mencari penyelesaian kepada krisis negara," selepas peletakan jawatan hampir ke semua menteri kabinet pada lewat Ahad malam bagi membuka jalan ke arah pembentukan kabinet baharu.

Bagaimanapun, permintaan itu segera ditolak pembangkang.

“Kami tidak akan menyertai kerajaan ini,” kata Eran Wickramaratne daripada parti pembangkang utama Samagi Jana Balawegaya (SJB). "keluarga Rajapaksa mesti berundur," tambahnya.

“Dia benar-benar gila kerana berfikir bahawa ahli parlimen pembangkang akan menyokong kerajaan yang semakin goyah," kata ahli parlimen Anura Dissanayake dari Barisan Pembebasan Rakyat (JVP) berhaluan kiri di sini. -AFP

Media Baharu