WASHINGTON, 5 April- Joe Biden menggesa 'perbicaraan jenayah perang' berhubung pembunuhan di Bucha, Ukraine.
Kekejaman terhadap orang awam ini wajar dibicarakan termasuk mahu lebih banyak sekatan dikenakan ke atas Rusia.
Presiden Amerika ini menggelar Presiden Vladimir Putin sebagai "penjenayah perang" dan pembunuhan itu sebagai "jenayah perang".
Desakan agar tuduhan jenayah perang terhadap Rusia semakin memuncak setelah penemuan lebih 400 mayat orang awam yang disifatkan sebagai pembunuhan terancang sekali gus menyebabkan kemarahan global.
(Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden /AFP)
Ukraine menuduh tentera Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai di kawasan itu.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia menafikan dakwaan berkenaan.
Kementerian Pertahanan Rusia menyifatkan rakaman dan gambar yang memaparkan mayat bergelimpangan di Bucha, merupakan satu lagi provokasi dilakukan oleh kerajaan Ukraine.
Kementerian Pertahanan menegaskan tiada mana-mana penduduk mengalami tindakan kekerasan daripada tentera Rusia di Bucha. -AFP