(Pemimpin Utama Korea Utara, Kim Jong-un/AFP)
SEOUL, 5 April- Korea Utara sedia menggunakan senjata nuklear untuk “menghapuskan” tentera Korea Selatan sekiranya Seoul melancarkan serangan awal, kata adik kepada pemimpin utama paling berkuasa Kim Jong-un.
Kim Yo Jong mengeluarkan amaran kali ke-2 itu dalam tempoh tiga hari selepas reaksi yang dibuat Menteri Pertahanan Korea Selatan, Suh Wook minggu lalu.
Perkembangan terbaru itu berlaku selepas Pyongyang menyambung semula ujian senjata nuklear pada tahun ini termasuk yang terbaharu ujian peluru berpandu balistik antara benua jarak penuh pertama pada bulan lepas, selepas kali terakhir diuji pada 2017.
Jumaat lalu, Suh berkata “tentera Korea Selatan memiliki peluru berpandu dengan keupayaan mengenai mana-mana sasaran di Korea Utara dengan pantas dan tepat,” disifatkan ugutan yang dibuat secara terang-terangan.
(Ahli Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Korea Utara Kim Yo Jong
juga adik kepada Kim Jong-un/REUTERS)
Kim Yo Jong dalam reaksinya berkata ia “satu kesilapan sangat besar” bagi Suh yang “gila” membincangkan serangan awal terhadap negara kuasa nuklear, menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
"Jika Korea Selatan memilih konfrontasi ketenteraan dengan kami, pasukan tempur nuklear kami perlu menjalankan tugas mereka," kata Kim Yo Jong, selaku penasihat dasar utama di Pyongyang.
Katanya, “misi utama” pasukan nuklear bertindak sebagai penghalang, tetapi jika konflik bersenjata tercetus, senjata itu (nuklear) akan digunakan untuk menghapuskan angkatan tentera musuh.
Akibat "serangan mengerikan" itu, tentera Korea Selatan akan berdepan nasib amat malang, musnah dan hancur hampir secara total,” tambahnya.
"Kami tidak menganggap (mereka) sebagai saingan untuk angkatan tentera kami," katanya, merujuk tentera Korea Selatan. -AFP