RAFAH, 17 Julai – Ribuan penduduk Palestin menolak rancangan Israel untuk menempatkan semula ratusan ribu pelarian ke ‘bandar kemanusiaan’ di selatan Gaza.
Sebaliknya penduduk menyatakan hasrat untuk pulang dan membina semula kediaman mereka.
Imej satelit terbaharu mengesahkan banyak kawasan di Rafah musnah teruk susulan serangan sejak minggu lalu.
Cadangan itu dikemukakan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, awal bulan ini, namun ditolak Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kerana kos tinggi dan logistik rumit.
Tentera Zionis memaklumkan rancangan itu masih di peringkat awal tanpa pelan terperinci, meskipun Netanyahu telah mengarahkan versi baharu yang lebih murah dan pantas.
Israel mempertahankan rancangan zon penempatan ini kononnya untuk memberi perlindungan kepada orang awam Gaza sambil melemahkan pengaruh Hamas.
Bagaimanapun, pembangkang menyifatkannya sebagai “kem penindasan” yang boleh membuka ruang kepada pembersihan etnik di Gaza, yang sudah musnah akibat genosid sejak Oktober 2023.
Zon baharu itu dijangka menempatkan lebih 600,000 penduduk, dibina di sempadan Mesir dan dikawal pasukan antarabangsa. - REUTERS