fb fb fb fb fb

Presiden interim Syria beri jaminan lindungi Druze

Ahmed al-Sharaa, Presiden Interim Syria - Foto REUTERS

DAMSYIK, 17 Julai – Presiden Interim Syria, Ahmed al-Sharaa menegaskan, perlindungan hak dan keselamatan komuniti Druze kekal menjadi keutamaan kerajaan peralihan, susulan serangan udara besar-besaran Israel di ibu negara Syria, semalam.

Dalam ucapan sulung di televisyen selepas serangan itu, beliau memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan tunduk pada tekanan luar.

“Kami bukan bangsa yang takut pada peperangan. Kami telah menghabiskan hidup menghadapi cabaran dan mempertahankan rakyat kami,” katanya.

Serangan Israel memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan Syria dan kawasan berhampiran Istana Presiden, selain mendesak tentera kerajaan berundur dari wilayah Druze di Suwayda.

Israel sebelum ini memberi amaran untuk memusnahkan sepenuhnya pasukan kerajaan Syria yang menyerang komuniti Druze.

Tindakan itu dilihat sebagai peningkatan mendadak konflik Israel-Syria, walaupun pentadbiran al-Sharaa kini menjalin kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat dan mengekalkan hubungan terbuka dengan Israel. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN