DAMSYIK, 17 Julai – Seorang pengacara televisyen Syria bertindak meninggalkan siaran langsung selepas Israel melakukan serangan menggegarkan Damsyik pada Rabu.
Rakaman memaparkan pengacara wanita itu kelihatan terkejut sebaik bunyi letupan kedengaran sebelum melarikan diri.
Manakala, kepulan asap tebal memenuhi kawasan di belakang pengacara tersebut.
Israel dalam kenyataan memaklumkan serangan menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan kerajaan Syria di Damsyik, termasuk Ibu Pejabat Turus Angkatan Tentera Syria dan kawasan berhampiran Istana Presiden.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, sebelum ini memberi amaran akan mengenakan ‘tindakan menyakitkan’ ke atas kerajaan Syria sekiranya terus menekan komuniti Druze di Suwayda.
Konflik di Suwayda memuncak apabila tentera kerajaan peralihan menyerbu bandar tersebut, mencetuskan pertempuran dengan kumpulan Druze tempatan.
Krisis bermula apabila puak Badwi yang disokong fraksi bersenjata luar menutup laluan Damascus–Suwayda pada Ahad lalu, disusuli tindakan keselamatan kerajaan menutup jalan itu sepenuhnya.
Pemimpin Druze, Sheikh Yousef Jarbou kemudian mengumumkan persetujuan dengan kerajaan peralihan untuk menghentikan operasi ketenteraan di Suwayda.
Namun pemimpin rohani Druze, Hikmat al-Hijri, menolak persetujuan tersebut dan bertegas perjuangan akan diteruskan sehingga seluruh wilayah dibebaskan tanpa syarat.