BUKIT GOLAN, 17 Julai – Tentera Israel menceroboh masuk ke kawasan sempadan Syria berhampiran bandar Druze Majdal Shams di sini, pagi tadi.
Konvoi terdiri daripada lima kenderaan, termasuk empat Humvee yang membawa peralatan dan sebuah trak pengangkut anggota.
Rejim Zionis dilihat bergerak di sepanjang pagar sempadan sebelum sebuah pintu pagar dibuka untuk membolehkan mereka memasuki wilayah Syria.
Insiden berlaku sehari selepas serangan udara Israel menggempur Damsyik, menyasarkan Kementerian Pertahanan Syria.
Pada Rabu, ratusan penduduk Druze Israel dilapor menyeberangi sempadan Bukit Golan menuju Syria, meskipun cuba disekat tentera Israel.
Mereka bergerak berkumpulan, berjalan kaki dan menaiki kenderaan.
Menurut sumber diplomatik, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dijadual bersidang hari ini bagi membincangkan konflik berterusan di Syria. - REUTERS