fb fb fb fb fb

Kebakaran pusat beli-belah di Iraq ragut 60 nyawa

Pusat beli-belah yang musnah dalam kebakaran di bandar Kut, Iraq/Foto AFP

KUT, 17 Julai - Sekurang-kurangnya 60 orang maut dalam satu kejadian kebakaran di sebuah pusat beli-belah lima tingkat yang menempatkan restoran dan pasar raya di bandar Kut, timur Iraq, malam tadi.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Iraq, kebanyakan mangsa maut akibat terhidu asap, manakala 14 mayat yang rentung masih belum dapat dikenal pasti.

Gabenor Wilayah Wasit, Mohammed al-Miyahi, memaklumkan kepada agensi berita rasmi INA bahawa lebih 45 mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.

Mangsa yang terkorban turut melibatkan kanak-kanak.

Pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.

Kebakaran dilaporkan bermula lewat malam Rabu, dipercayai dari tingkat satu sebelum merebak dengan pantas ke seluruh bangunan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun menurut seorang mangsa terselamat, insiden itu dipercayai berpunca daripada letupan alat penyaman udara.

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengambil langkah bagi mengelakkan tragedi seumpamanya daripada berulang.-AFP

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI