fb fb fb fb fb

Hujan lebat di Pakistan ragut 54 nyawa dalam tempoh 24 jam

Bandar Rawalpindi ditenggelami air/ Foto AFP

RAWALPINDI, 17 Julai - Hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Pakistan dalam tempoh 24 jam, mengorbankan sekurang-kurangnya 54 orang serta 227 lagi cedera.

Kebanyakan kematian dilaporkan berlaku di wilayah Punjab.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), jumlah keseluruhan korban sejak bermulanya musim monsun pada 26 Jun lalu mencecah kira-kira 180 orang.

Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Rabu menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Punjab, termasuk beberapa kawasan bandar yang terjejas teruk.

Penduduk di kawasan rendah berhampiran Sungai Nullah Lai, Rawalpindi, diarahkan berpindah susulan peningkatan mendadak paras air sungai tersebut.

Menurut jurucakap NDMA, operasi pemindahan telah dijalankan di beberapa kawasan berdekatan sungai, manakala pasukan penyelamat berada dalam keadaan siap sedia untuk tindakan lanjut.

Kerajaan tempatan Rawalpindi turut mengisytiharkan cuti umum pada Khamis bagi mengurangkan pergerakan penduduk.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Kebangsaan memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat.-AFP

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI