fb fb fb fb fb

Pelancong terkandas akibat runtuhan salji di Xinjiang

Foto hiasan/REUTERS

BEIJING, 15 Januari- Beberapa pelancong terkandas selama beberapa hari selepas runtuhan salji melanda di wilayah barat laut China Xinjiang diselamatkan menggunakan helikopter, menurut laporan media tempatan.

Salji lebat selama beberaoa hari di Wilayah Altay di barat laut Uygur Xinjiang China mengakibatkan berpuluh-puluh runtuhan salji di bahagian besar lebuh raya di pergunungan Altay menuju ke kawasan pemandangan Kanas, lapor media negara China Xinhua dan CCTV News pada Sabtu dan Ahad.

Menurut CCTV enam kilometer lebuh raya tertimbus.

Altay terkenal dengan pusat peranginan ski menjadi destinasi popular untuk pelancongan musim sejuk. China telah menyaksikan bencana ketika musim sejuk di bandar utara dan timur laut sejak beberapa minggu lalu.

Salji dan runtuhan salji mengakibatkan banyak jalan menuju ke Kanas, Hemu, Baihaba dan tempat-tempat indah lain di Burqin County tertimbus. Ia telah menghalang laluan pelancong, lapor Xinhua.

Jawatankuasa pengurusan kawasan pemandangan Kanas mengeluarkan notis pada hujung minggu mengatakan pelancong yang terkandas akan diberikan penginapan secara percuma, kata Xinhua.

Krew briged penerbangan tentera di Xinjiang menuju ke lokasi pelancong yang terkandas, menurut Tianshan Net-Xinjiang Daily.

"Setelah tiba di lokasi, kakitangan segera memunggah bekalan seperti beras, tepung, minyak dan bahan-bahan lain. Pada masa sama, beberapa individu yang terperangkap akibat salji lebat menaiki pesawat dan dipindahkan dari Pusat Pelawat Kanas ke Lapangan Terbang Kanas," lapor media.

Bagaimanapun selepas menyelesaikan misi tersebut, cuaca berubah secara mendadak dengan lebih banyak angin dan salji. Ia telah menangguhkan usaha menyelamat tambahan yang dilakukan itu.

Jawatankuasa pengurusan kawasan pemandangan Kanas pada Isnin berkata ia telah menutup kawasan itu sehingga 20 Januari berikutan "cuaca melampau baru-baru ini." Ia bagi memastikan keselamatan pelancong lebih terjamin, menurut kenyataan rasmi jawatankuasa itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI