SEOUL, 22 Mei - Satu kemalangan serius berlaku ketika majlis pelancaran kapal pemusnah baharu Korea Utara di pelabuhan Chongjin.
Media rasmi negara itu melaporkan kemalangan berlaku ketika pemimpin tertinggi Kim Jong Un menyaksikan pelancaran kapal seberat 5,000 tan itu.
Menurut laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), sebahagian bawah kapal itu remuk hingga menjejaskan keseimbangan keseluruhan struktur.
Puncanya dikaitkan dengan kelemahan arahan dan kecuaian operasi oleh pihak bertanggungjawab semasa pelancaran.
Kim Jong Un menyifatkan insiden itu sebagai “perbuatan jenayah akibat kecuaian mutlak” dan menegaskan ia tidak boleh dibiarkan.
Beliau turut mengarahkan tindakan terhadap pegawai terlibat yan akan dibincang pada mesyuarat pleno Parti Pekerja bulan depan.
Bulan lalu, Korea Utara mendedahkan kapal perang sekelas sama, dinamakan Choe Hyon, dilengkapi sistem senjata paling berkuasa.
Beberapa penganalisis percaya kapal itu mungkin membawa peluru berpandu nuklear taktikal jarak dekat, namun dakwaan itu belum dapat disahkan.
Tentera Korea Selatan sebelum ini menyatakan, Choe Hyon mungkin dibangunkan dengan bantuan Rusia, sebagai pertukaran kepada sokongan tentera Pyongyang di Ukraine.
Korea Utara turut mengumumkan sedang membina jambatan jalan pertama yang menghubungkan dengan Rusia.
Tahun lalu, negara itu melancarkan beberapa peluru berpandu balistik, melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Washington dan Seoul meningkatkan kerjasama ketenteraan termasuk latihan bersama serta penempatan aset strategik seperti kapal pengangkut pesawat dan kapal selam berkuasa nuklear di rantau itu.
Korea Utara pula berulang kali mengisytiharkan dirinya sebagai negara kuasa nuklear yang tidak boleh dipertikai, dan menuduh latihan bersama Amerika Syarikat-Korea Selatan sebagai persediaan untuk menceroboh.-AFP