fb fb fb fb fb

CEO syarikat penerbangan AS desak Kongres naik taraf sistem kawalan trafik udara

Foto- REUTERS

WASHINGTON, 22 Mei -Ketua eksekutif syarikat penerbangan dan kargo utama Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan surat bersama mendesak tindakan segera Kongres bagi menaik taraf sistem kawalan trafik udara negara itu yang disifatkan "gagal berfungsi untuk rakyat".

Surat itu ditandatangani ketua eksekutif (CEO) syarikat-syarikat penerbangan besar termasuk American Airlines, United Airlines, Delta Air Lines, Southwest Airlines, JetBlue Airways, Alaska Airlines, Atlas Air, FedEx dan UPS.

Mereka memberi amaran bahawa teknologi digunakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) kini "sangat ketinggalan zaman" dan menuntut pembaharuan segera menjelang perjalanan musim panas yang bakal bermula.

Kekurangan kakitangan serta infrastruktur kawalan trafik udara yang uzur telah mencetuskan kebimbangan awam secara berterusan tahun ini.

Pada Januari lalu, satu kemalagan udara berlaku antara helikopter tentera dengan pesawat penumpang berhampiran Washington D.C., mengorbankan 67 orang.

Sejak 28 April, kerosakan peralatan berulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, antara hab penerbangan paling sibuk di AS telah menyebabkan kelewatan besar sehingga memaksa sekatan sementara penerbangan.

Menteri Pengangkutan AS, Shawn Duffy, pada 8 Mei mengumumkan pelan pemodenan bernilai berbilion dolar bagi menggantikan sistem kawalan sedia ada yang masih bergantung kepada teknologi radar era 1970-an.

Surat para CEO itu secara jelas menyokong permohonan pembiayaan tersebut, sambil menegaskan bahawa kekurangan pelaburan berterusan boleh menjejaskan keselamatan dan kecekapan operasi penerbangan.-REUTERS

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN