GAZA, 22 Mei- Jumlah korban akibat serangan berterusan Israel di Gaza meningkat kepada 53,655 orang manakala 121,950 lagi dilaporkan cedera sejak tercetusnya perang.
Menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu, sekurang-kurangnya 82 lagi rakyat Palestin terkorban dan 262 cedera akibat serangan udara rejim Zionis.
Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada Rabu, sebanyak 115 sasaran ketenteraan di Gaza telah dibedil dalam tempoh 24 jam terakhir, sebahagian daripada kempen ketenteraan yang semakin memuncak.
IDF turut memaklumkan bahawa mereka telah memintas satu peluru berpandu yang dilancarkan dari Gaza, yang mencetuskan amaran serangan udara di kawasan Lakhish, selatan Israel.
Namun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Serangan itu telah diakui oleh kumpulan pejuang Hamas sebagai tindakan balas terhadap operasi Israel.
Situasi di Gaza kini semakin genting susulan pelancaran operasi ketenteraan baharu Israel yang dinamakan “Operation Gideon’s Chariots” pada Sabtu lalu, menandakan peningkatan mendadak dalam konflik yang telah berlarutan selama 19 bulan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan pada Rabu menegaskan bahawa semua kawasan di Gaza akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel dan Hamas akan ditumpaskan sepenuhnya melalui operasi tersebut.
Bagaimanapun, jurucakap Hamas, Jihad Taha, menegaskan bahawa pasukannya tidak akan menyerah kalah dan akan terus mempertahankan hak bersenjata serta menolak sebarang usaha menghalau kepimpinan mereka keluar dari Gaza.- REUTERS