fb fb fb fb fb

Filipina tuduh Pengawal Pantai China serang kapal kerajaan

Foto AFP

MANILA, 22 Mei- Biro Perikanan dan Sumber Akuatik Filipina (BFAR) menuduh Pengawal Pantai China (CCG) menyerang kapal kerajaan, BRP Datu Sanday (MMOV 3002), di Kepulauan Spratly pada Rabu.

CCG dilapor menggunakan meriam air serta melanggar sisi kapal sebanyak dua kali semasa kapal milik Filipina itu menjalankan projek penyelidikan saintifik di perairan berhampiran terumbu Sandy Cay.

Menurut kenyataan BFAR, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.13 pagi, apabila kapal CCG 21559 bertindak agresif menyebabkan kerosakan pada bahagian haluan kiri dan cerobong asap kapal.

Tindakan berkenaan mengancam keselamatan anak kapal yang terdiri daripada kakitangan awam Filipina.

Ini merupakan kali pertama meriam air digunakan terhadap kapal Filipina di kawasan tersebut, menandakan peningkatan ketegangan di Laut China Selatan.

Bulan lalu, Filipina mengkritik laporan media China yang mendakwa terumbu Sandy Cay 2 (dikenali sebagai Tiexian Reef oleh China) telah diletakkan di bawah kawalan maritim China pada pertengahan April 2025.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui insiden yang berlaku sebaliknya menegaskan bahawa CCG sentiasa bertindak mengikut undang-undang dan peraturan.

Konfrontasi itu menyerlahkan ketegangan berterusan antara Filipina dan China, dengan kedua-dua negara kerap terlibat dalam insiden maritim di kawasan pertikaian tersebut.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM