BEIJING, 22 Mei- China membantah sebarang tindakan yang mengancam keselamatan petugas diplomatik.
Gesaan itu susulan laporan insiden tembakan tentera Israel berhampiran delegasi diplomatik di Tebing Barat yang diduduki.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, dalam sidang media berkala pada Khamis berkata pihaknya sedang memantau rapat insiden tersebut dan menyeru semua pihak, khususnya Israel, agar tidak mengambil langkah yang boleh memburukkan keadaan.
“Kami menggesa pihak berkaitan supaya tidak melakukan tindakan bersifat provokatif atau memperhebat ketegangan,” katanya.
Menurut kenyataan tentera Israel, delegasi terbabit didakwa telah menyimpang daripada laluan yang dibenarkan dan memasuki kawasan larangan.
Pihak tentera menjelaskan bahawa tembakan amaran dilepaskan bagi menghalau mereka keluar dari kawasan tersebut.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan.
Sumber diplomatik memaklumkan bahawa delegasi tersebut turut disertai oleh diplomat-diplomat Kesatuan Eropah (EU).- REUTERS