NAPLES, 22 Mei- Polis Itali merampas lebih 20,000 barangan tiruan membabitkan kelab bola sepak Napoli pada Khamis.
Rampasan dibuat menerusi serbuan polis di Via Toledo, Naples ketika penyokong pasukan itu bersedia untuk meraikan kejayaan gelaran Serie A yang baharu.
Barang rampasan termasuk jersi vintaj dan terkini dalam warna biru Napoli, seluar pendek, selendang dan topi dengan anggaran nilai kira-kira lebih €300,000 euro.
Polis kini menyiasat 18 individu atas tuduhan pemalsuan, penerimaan barang curi dan penipuan komersial.
Napoli kini mendahului Inter Milan dengan kelebihan satu mata dan berpeluang menjadi juara Itali buat kali keempat jika mereka mengalahkan Cagliari di tempat sendiri pada hari Jumaat, 23 Mei 2025.
Bandar Naples, yang terkenal dengan semangat bola sepak, telah menyaksikan sambutan meriah pada 2023 apabila pasukan itu memenangi gelaran Serie A, kejayaan pertama sejak era kegemilangan bawah pimpinan legenda Diego Maradona pada 1987 dan 1990.- REUTERS