BRUSSELS, 22 Mei- Parlimen Eropah meluluskan tarif tinggi terhadap baja dan hasil pertanian tertentu dari Rusia dan sekutunya Belarus.
Keputusan itu dilaksana sebagai usaha melindungi keselamatan makanan Kesatuan Eropah (EU) selain menyekat aliran dana kepada usaha perang Rusia di Ukraine.
Langkah berkenaan melibatkan peningkatan tarif bagi baja berasaskan nitrogen daripada 6.5 peratus kepada kadar mencecah 100 peratus dalam tempoh tiga tahun, satu paras yang dijangka menamatkan perdagangan sepenuhnya.
Sementara itu, duti tambahan sebanyak 50 peratus dikenakan kepada hasil pertanian seperti daging, produk tenusu, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Kenaikan tarif tersebut dijadual berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Dalam pada itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata tindakan EU itu akan menyebabkan kos baja meningkat serta menjejaskan kualiti produk di rantau tersebut.
Beliau menegaskan bahawa permintaan terhadap baja Rusia masih tinggi di pasaran lain dan produk mereka kekal berkualiti tinggi.
Usul tersebut diluluskan Parlimen Eropah dengan 411 undi menyokong, 100 menentang dan 78 berkecuali.- REUTERS