fb fb fb fb fb

Pelan damai AS bukan tawaran akhir untuk tamatkan perang Ukraine

AS berusaha menjadi orang tengah bagi menamatkan kemelut Ukraine-Rusia / Foto AFP

WASHINGTON, 23 November - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan pelan damai bagi menamatkan perang di Ukraine bukan tawaran terakhir beliau kepada Kyiv, dan beliau berharap pertempuran akan berhenti walau dengan cara apa sekalipun.

Ketika ditanya media sama ada pelan mengandungi 28 perkara yang dicadangkannya - yang akan menyaksikan Ukraine menyerahkan wilayah, mengurangkan angkatan tentera, dan berikrar untuk tidak pernah menyertai NATO merupakan “tawaran terakhirnya kepada Ukraine,” Trump menjawab: “Tidak.”

“Kami sedang cuba menamatkannya. Dengan apa cara sekalipun, kita perlu menamatkannya,” katanya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah memberikan reaksi dingin terhadap pelan damai tersebut, dengan mengatakan bahawa beliau akan mengemukakan alternatif.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pula menyuarakan kesediaan untuk membincangkan perincian pelan damai itu, namun jika ditolak Kyiv, Moscow akan meneruskan serangan ke atas Ukraine yang dilancarkan sejak Februari 2022.

Pada Jumaat, Trump memaklumkan ia telah memberi tempoh hingga 27 November kepada Zelensky untuk mempertimbang dan menyatakan persetujuan kepada perjanjian pelan damai, namun tempoh itu boleh dilanjutkan.

“Beliau (Zelensky) perlu menerimanya, dan jika dia tidak bersetuju, maka mereka patut terus berperang,” Trump memberitahu media. “Pada suatu ketika, Zelensky akan perlu (akur) menerima sesuatu.”

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dan Utusan Khas Trump, Steve Witkoff, dijadual tiba di Geneva pada Ahad untuk membincangkan pelan itu, menurut seorang pegawai AS kepada AFP.

Para pegawai Eropah juga dijangka hadir di Switzerland. -AFP

EMMI NORALIZA ADNAN