fb fb fb fb fb

Pelaksanaan tarif 1 Ogos muktamad, tiada lanjutan - AS

Foto hiasan.

WASHINGTON, 27 Julai - Penguatkuasan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas rakan dagangnya bermula 1 Ogos ini adalah muktamad dan tidak akan dilanjutkan.

Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick menegaskan, tarif akan dikuatkuasakan pada tarikh tersebut dan pungutan bayaran akan dilaksanakan kastan seperti dirancang.

“Tiada lanjutan, tiada lagi tempoh bertenang. Pada 1 Ogos, tarif akan dikuatkuasakan seperti dirancang,” katanya dalam rancangan Fox News Sunday.

Namun, beliau memaklumkan, selepas tarif dikuatkuasakan, Presiden Donald Trump masih terbuka untuk meneruskan rundingan sekiranya ada.

Setakat ini, lima negara telah mencapai perjanjian dengan pentadbiran Trump berhubung pelaksanaan tarif berkenaan sebelum tarikh akhir Jumaat ini.

Lima negara tersebut ialah Britain, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Jepun.

Kadar tarif yang diterima oleh negara-negara tersebut kebanyakannya lebih tinggi daripada kadar asas baharu 10 peratus yang telah dikenakan ke atas kebanyakan negara sejak April.

AS berusaha merombak sistem perdagangan bebas global dengan mengenakan tarif terhadap negara yang dianggap mengamalkan perdagangan tidak adil. - AFP

KHAIRUL AMRI BIN YASIN