HONG KONG, 27 Mei– Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), John Lee Ka-Chiu mempelawa pelajar Universiti Harvard untuk menyambung pengajian di Hong Kong susulan langkah Amerika Syarikat (AS) mengehadkan kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti tersebut.
"Hong Kong mengalu-alukan mana-mana pelajar yang didiskriminasikan oleh dasar AS atau menghadapi kesukaran untuk belajar atau meneruskan pengajian di universiti di negara itu," katanya dalam sidang media mingguan di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Biro Pendidikan Hong Kong menyeru institusi pengajian tinggi di wilayah tersebut supaya melindungi kepentingan pelajar dan menarik bakat antarabangsa sebagai respons terhadap larangan ke atas Harvard.
Larangan yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, itu telah membatalkan kelayakan Universiti Harvard untuk menerima pelajar antarabangsa.
Dasar itu mewajibkan pelajar sedia ada dipindahkan ke institusi lain atau berdepan risiko kehilangan status sah mereka di AS.
Meskipun seorang hakim persekutuan telah mengeluarkan perintah sekatan sementara terhadap larangan tersebut, status pelajar antarabangsa Harvard masih tidak menentu.
Larangan yang dijadual berkuat kuasa bagi tahun akademik 2025–2026 itu diumumkan selepas pentadbiran Trump menuduh Harvard menggalakkan fahaman anti-semitisme dan bersekongkol dengan Parti Komunis China.
Warganegara China mewakili kira-kira satu perlima daripada jumlah pelajar antarabangsa Harvard pada tahun 2024.- REUTERS