KATHMANDU, 27 Mei- Seorang pendaki berusia 55 tahun dari Nepal memecahkan rekod dunia selepas berjaya mendaki Gunung Everest sebanyak 31 kali.
Kami Rita Sherpa yang dikenali sebagai 'Everest Man' selesai menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu buat kali ke-31 hari ini.
"Saya berbangga dengan rekod dunia ini. Tetapi saya percaya ianya akan dipecahkan tidak lama lagi.
"Namun begitu saya tetap gembira kerana misi saya ini secara tidak langsung membantu Nepal diiktiraf dunia,"katanya.
Untuk rekod, Sherpa mula aktif mendaki sejak tahun 1994 semasa bekerja dengan sebuah syarikat ekpedisi.
Seorang lagi pendaki Nepal, Tashi Gyalzen Sherpa, 29 tahun turut memecahkan rekod dunia selepas menawan puncak Everest sebanyak empat kali dalam masa 15 hari.
Pada tahun ini, lebih 500 pendaki berjaya sampai ke puncak Everest.
Daripada jumlah itu, dua pendaki masing-masing dari Filipina dan India terkorban. -AFP