CAMBRIDGE, 27 Mei- Pelajar dan pensyarah Universiti Harvard mengadakan protes di kampus universiti itu sebagai tanda sokongan kepada pelajar antarabangsa serta mendesak pihak universiti agar bertegas dalam menghadapi tekanan daripada kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Tidak terkecuali seorang graduan lepasan universiti itu Oscar Escobar dari Colombia yang turut menyertai protes berkenaan.
"Kami bukan musuh, anda tidak perlu berlawan dengan kami," kata Oscar Escobar dari Colombia, yang baru-baru ini menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Awam di Harvard.
Protes itu diadakan susulan langkah kerajaan AS dilihat cuba memutuskan hubungan dengan institusi Ivy League.
Pentadbiran Perkhidmatan Am Amerika Syarikat (GSA) mengarahkan agensi-agensi persekutuan untuk menyemak dan berkemungkinan menamatkan atau mengalihkan baki kontrak mereka dengan Harvard—yang dianggarkan oleh seorang pegawai mencecah sekitar AS$100 juta.
Kerajaan persekutuan sebelum ini telah membatalkan hampir AS$3 bilion dalam bentuk geran penyelidikan untuk universiti tersebut, dan minggu lalu ia menarik semula kelayakan Harvard dalam mendaftarkan pelajar antarabangsa.
Kumpulan pelajar antarabangsa—sekitar 6,800 orang—mewakili kira-kira 27 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di Harvard.
Namun, seorang hakim persekutuan di Boston pada Jumaat (23 Mei) telah mengeluarkan perintah sementara yang menghalang Jabatan Keselamatan Dalam Negeri daripada melaksanakan tindakan tersebut.
Seorang peguam daripada Jabatan Kehakiman berkata pihak pentadbiran mematuhi perintah itu namun masih mempertimbangkan pilihan yang ada dalam sesi mahkamah ringkas pada Selasa.
Harvard kini sedang menyaman pentadbiran berkenaan langkah tersebut, dengan hujah bahawa tindakan itu melanggar proses undang-undang dan menjejaskan kebebasan bersuara yang dilindungi bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS kerana menyasarkan kakitangan, kurikulum, dan pilihan pengambilan pelajar universiti itu.- REUTERS