fb fb fb fb fb

Cuaca panas: Solat Jumaat, khutbah diarah dipendekkan sepanjang musim Haji 2025

Waktu antara azan dan iqamah untuk semua solat juga diarahkan tidak melebihi 5 hingga 10 minit / Foto fail Bernama

MEKAH, 28 Mei- Semua imam dan khatib di masjidil Haram dan Masjid Nabawi diarah memendekkan tempoh khutbah dan solat Jumaat tidak melebihi 15 minit sepanjang musim Haji 2025.

Arahan dikeluarkan sebagai tanda prihatin terhadap keadaan semasa dihadapi jutaan jemaah, khususnya ketika cuaca panas melampau melanda kota Mekah dan Madinah.

Menurut Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, langkah itu diambil bagi menjaga keselamatan jemaah yang menunaikan solat Jumaat di kedua-dua masjid suci itu.

“Berdasarkan prinsip Islam yang bersifat mudah, berperikemanusiaan, kami juga mengarahkan agar waktu antara azan dan iqamah untuk semua solat tidak melebihi 5 hingga 10 minit. Sementara itu, keseluruhan khutbah dan solat Jumaat pula tidak akan melebihi 15 minit,” tambah beliau.

“Dengan keadaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang sesak akibat ketibaan jemaah dari seluruh dunia, ditambah dengan suhu yang sangat tinggi, maka langkah pencegahan menjadi keutamaan.

Ia penting untuk mengelak strok haba, keletihan melampau serta risiko kesihatan lain yang boleh menjejaskan jemaah,” menurut beliau.

Langkah itu juga sejajar dengan maqasid syariah dan kaedah fiqh yang menekankan tentang langkah memudahkan umat Islam dalam beribadah, khususnya dalam keadaan luar biasa.

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN