BEIJING, 28 Mei- Sekurang-kurangnya lima individu maut manakala enam lagi dilaporkan hilang dalam satu insiden letupan di sebuah loji kimia di timur China pada Selasa.
Media rasmi negara itu melaporkan letupan berlaku di Loji Kimia Youdao sekitar pukul 12.00 tengah hari waktu tempatan di Gaomi.
Rakaman video yang disiarkan oleh akhbar Beijing Xinjingbao memaparkan kepulan asap kelabu tebal menjulang tinggi ke udara, kebakaran di kawasan perindustrian, serta tingkap premis pecah akibat letupan itu.
Menurut laporan Xinhua yang memetik kenyataan pegawai tempatan, kejadian itu mengorbankan lima individu, manakala enam lagi masih hilang dan 19 lagi cedera ringan.
Sementara itu klip video lain turut menunjukkan serpihan bertaburan di atas jalan, sebuah kereta dengan cermin depan pecah, serta api marak membakar struktur di kawasan kejadian.
Kementerian Pengurusan Kecemasan China dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 55 kenderaan dan 232 anggota penyelamat telah digerakkan ke lokasi kejadian.
enurut media dalam talian China, The Paper, Youdao Chemical beroperasi sebagai kilang menghasilkan racun perosak "berketoksikan rendah" dan menggaji kira-kira 300 pekerja di kawasan seluas 47 hektar.
Pada tahun 2015, satu letupan besar berlaku di gudang yang menyimpan bahan kimia mudah terbakar di pelabuhan Tianjin telah mengorbankan lebih 170 nyawa dan mencederakan lebih 700 orang.- AFP