fb fb fb fb fb

AS henti syor vaksin COVID-19 kepada untuk wanita hamil, kanak-kanak sihat

Robert F. Kennedy Jr (tengah)/ REUTERS

WASHINGTON, 27 Mei- Amerika Syarikat (AS) telah menghentikan syor pemberian vaksin COVID-19 secara rutin kepada wanita hamil dan kanak-kanak sihat.

Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat Robert F. Kennedy Jr memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran media sosial dan perkara itu dilaksanakan tanpa melalui perbincangan dikendalikan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Menerusi satu video, Kennedy bersama Pesuruhjaya Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), Marty Makary, dan Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), Jay Bhattacharya, memaklumkan bahawa suntikan vaksin COVID-19 telah dikeluarkan daripada jadual imunisasi yang disyorkan oleh CDC.

Perubahan itu diumumkan seminggu selepas kerajaan memperkenalkan syarat lebih ketat bagi pengambilan vaksin COVID-19.

Ia kini dihadkan kepada golongan warga emas dan individu berisiko tinggi mengalami gejala teruk.

Kebiasaannya sebelum keputusan dibuat, Jawatankuasa Penasihat CDC mengenai Amalan Imunisasi (ACIP) akan bermesyuarat dan mengundi untuk meluluskan sebarang perubahan terhadap jadual imunisasi atau cadangan penerima vaksin.

Kennedy, yang kini mengetuai jabatan yang menyelia CDC, sedang merombak sistem kesihatan AS selaras dengan matlamat Presiden AS Donald Trump untuk mengecilkan saiz kerajaan persekutuan secara drastik.

"Tahun lalu, pentadbiran Biden menggesa kanak-kanak sihat menerima satu lagi dos vaksin COVID-19 meskipun tiada data klinikal yang menyokong strategi dos penggalak berulang dalam kalangan kanak-kanak," kata Kennedy dalam video tersebut.

Sebelum ini CDC berpandukan pandangan panel pakar luar yang mengesyorkan vaksin COVID-19 terkini untuk semua individu berusia enam bulan ke atas.

Syarikat insurans juga sedang meneliti garis panduan peraturan terbaharu itu bagi menentukan dasar masing-masing, yang lazimnya selari dengan cadangan ACIP.

Jurucakap CVS Health berkata, pihaknya sedang menilai sama ada perubahan dalam liputan insurans kesihatan diperlukan susulan penilaian semula kelayakan vaksin COVID-19 kerajaan persekutuan.

Manakala jurucakap Persatuan Blue Cross Blue Shield menyatakan bahawa manfaat penjagaan kesihatan pencegahan, termasuk vaksin COVID-19, adalah penting untuk memastikan kesihatan pesakit sentiasa terjaga.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI