MEXICO, 27 Mei- Pihak berkuasa Mexico menemui 175 pendatang, kebanyakannya dari Guatemala dalam sebuah treler di selatan Chiapas, kata Institut Migrasi Kebangsaan (INM) pada Jumaat.
Insiden itu merupakan penyeludupan manusia beramai-ramai terbaharu dikesan.
Ejen imigresen mendengar jeritan dan hentakan yang datang dari dalam kenderaan itu apabila ia dihentikan di pusat pemeriksaan, kata INM dalam satu kenyataan.
Walaupun pemandu enggan membuka pintu belakang treler, wajah pendatang dapat dilihat, kata INM.
Foto yang dikongsikan oleh institut itu menunjukkan orang ramai berdiri rapat di dalam treler sebelum turun dengan bantuan ejen INM.
Kebanyakan pendatang adalah dari Guatemala, manakala yang lain dari Ecuador, El Salvador dan Honduras.
Dua orang daripada kumpulan itu masing-masing dari Republik Dominican dan Pakistan.
Kumpulan itu termasuk 28 kanak-kanak bawah umur tanpa penjaga dari Guatemala dan dua dari El Salvador.
Pendatang melarikan diri dari kemiskinan dan keganasan di Amerika Latin kerap berusaha untuk melalui Mexico secara rahsia untuk ke Amerika Syarikat (AS).
Minggu lalu, Pegawai Keselamatan Dalam Negeri AS Blas Nunez-Neto berkata, bahawa pendatang di sempadan AS-Mexico telah menurun 70% sejak berakhirnya sekatan sempadan COVID-19.
Namun, bilangan pendatang ke AS yang melintasi hutan berbahaya antara Panama dan Colombia telah meningkat tahun ini.- REUTERS
(175 pendatang ditemui dalam sebuah treler oleh pihak berkuasa Mexico/REUTERS)