fb fb fb fb fb

PBB siasat serangan ke atas penjara di Olenivka

DONETSK, 5 Ogos - Sebuah pasukan ditubuhkan bagi menyiasat serangan ke atas sebuah penjara di wilayah bawah penguasaan kumpulan pemisah di timur Ukraine.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berikutan permintaan Russia dan Ukraine.

Kedua-dua pihak Moscow dan Kiev saling menuding jari berhubung kejadian yang berlaku pada Jumaat minggu lalu itu.

(Persembahan oleh peserta yang berhimpun sebagai tanda protes disebabkan tindakan Russia
membunuh tawanan perang (POW) Ukraine dalam penjara di Olenivka/REUTERS)

Guterres menjelaskan, beliau tiada kuasa untuk mengarahkan siasatan jenayah.

Menurut beliau, terma rujukan bagi misi ke Ukraine itu sedang disediakan dan akan dihantar kepada kedua-dua kerajaan berkenaan untuk persetujuan.

Russia sebelum ini mendakwa tentera Ukraine menggunakan pelancar roket yang dibekalkan Amerika, untuk menyerang penjara berkenaan yang terletak di Olenivka.

Ia merupakan penempatan yang dikuasai oleh Republik Rakyat Donetsk yang disokong Russia.

Serangan itu dilaporkan mengorbankan 53 tawanan perang Ukraine dan mencederakan 75 lagi.

Bagaimanapun, tentera Ukraine menafikannya dan menuduh ia perbuatan pihak musuh.

Tawanan perang Ukraine di penjara Donetsk meliputi tentera yang ditawan ketika serangan di Mariupol. - REUTERS

Media Baharu