JEPUN, 5 Ogos - Situasi hujan lebat di Jepun semakin buruk.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran di sana, lebih 200,000 orang di enam wilayah Jepun telah diarahkan untuk berpindah kerana ancaman banjir.
Rakaman televisyen menunjukkan sungai berlumpur mengalir deras ke arah penempatan penduduk serta menggelamkan bangunan dan kediaman.
Menurut agensi berita Sputnik, perintah pemindahan itu melibatkan wilayah Aomori, Iwate, Yamagata, Fukushima, Niigata dan Ishikawa.
(Serpihan kayu dihanyutkan oleh hujan lebat di bandar Murakmai, Wilayah Niigata
pada 4 Ogos lalu/FOTO AFP)
Wilayah Niigata kini diberikan amaran tertinggi.
Bahagian utara dan timur Pulau Honshu pula kini mengalami bencana tanah runtuh akibat hujan yang semakin lebat.
Insiden itu telah menyebabkan beberapa jalan utama terhalang.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan hilang manakala belum ada sebarang kes kematian dilaporkan. - AFP