RAFAH, 17 Oktober - Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher, menyelia penghantaran puluhan trak membawa bantuan kemanusiaan yang melintasi sempadan Rafah di Mesir menuju ke Kerem Shalom pada Khamis.
“Kami datang dalam skala besar. Kami melihat anda, kami mendengar anda. Anda telah menunggu terlalu lama, tetapi trak kini sedang bergerak,” katanya, sambil memaklumkan Program Makanan Dunia (WFP) PBB mempunyai 250 trak makanan sedia untuk dihantar ke Gaza.
Bagaimanapun, bekalan dari Mesir perlu melalui pemeriksaan pihak berkuasa Israel di Kerem Shalom sebelum dibenarkan masuk ke Gaza.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, dipetik agensi berita Itali ANSA sebagai berkata lintasan Rafah di sempadan Gaza-Mesir dijangka dibuka semula pada Ahad.
Namun, dia tidak memperincikan sama ada pembukaan semula lintasan itu bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan atau pergerakan keluar masuk individu.-REUTERS