GENEVA, 24 Jun - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada hari Selasa mengecam tindakan "persenjataan makanan" Israel di Gaza yang menyasarkan individu yang cuba mendapatkan makanan.
Tegas organisasi antarabangsa itu, mekanisme bantuan kemanusiaan ketenteraan Israel bercanggah dengan piawaian antarabangsa mengenai pengagihan bantuan," kata jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB Thameen Al-Kheetan.
Beliau memberi amaran tersebut dalam nota taklimat mengenai suasana huru-hara di sekitar tempat pengagihan makanan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
"Orang yang terdesak dan kelaparan di Gaza terus berdepan dengan pilihan yang tidak berperikemanusiaan sama ada mati kelaparan atau berisiko dibunuh ketika cuba mendapatkan makanan," kata Thameen.
GHF yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan operasi pengedaran makanan di Gaza pada 26 Mei lalu selepas Israel menghentikan sepenuhnya bekalan ke wilayah Palestin selama lebih dua bulan.
Tindakan itu terus mencetuskan amaran kebuluran besar-besaran.
PBB dan kumpulan bantuan utama enggan bekerjasama dengan GHF kerana ia usaha persendirian secara rasmi dengan pembiayaan yang tidak jelas termasuk bimbang ia direka untuk memenuhi objektif ketenteraan Israel.
"Sejak pertubuhan itu mula beroperasi, tentera Israel telah membedil dan menembak rakyat Palestin yang cuba mencapai titik pengedaran, yang membawa kepada banyak kematian," jelas Thameen lagi dalam nota bertulis.
Beliau merujuk kepada laporan bahawa lebih 410 rakyat Palestin telah terbunuh akibat tindakan Israel di kem bantuan GHF.
Manakala sekurang-kurangnya 93 yang lain juga dilaporkan dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba mendekati konvoi bantuan PBB dan organisasi kemanusiaan lain.